Tertawalah, kerana seluruh dunia akan tertawa bersamamu. Jangan bersedih, kerana kamu bersedih sendirian
Positif sekali tajuk blog post kali ini ya?
Julung-julung kalinya saya cuba menulis dalam Bahasa Kebangsaan yang tertib. Selalunya saya menulis dalam Bahasa Inggeris yang bersifat slanga.
Ungkapan itu, mungkin tidak setepat mana seperti yang tertulis dalam buku yang dipetik ayat tersebut, tetapi, lebih kurang samalah maksudnya.
Saya baru sahaja selesai membaca tiga daripada tetralogi Laskar Pelangi karya Andrea Hirata.
Nyata saya tidak dapat memberikan ulasan terperinci dari segi lenggok dan komponen sasteranya kerana dari dulu sampai sekarang, saya agak buta sastera Melayu. Walau bagaimanapun, saya masih dapat berkongsi pendapat mengenai buah fikiran yang ingin disampaikan dan jalan ceritanya.
Buku pertama ialah Laskar Pelangi. Buku ini, setakat ini yang paling tebal dan mengisahkan perihal zaman kanak-kanak penulis. Rasanya sinopsisnya boleh dibaca dari sumber internet lain. Mengenai buku pertama ini, bagi saya, pacing (apa ya istilahnya dalam Bahasa Melayu?) ceritanya agak lambat, dan penerangannya sarat dengan nama saintifik tumbuh-tumbuhan dan istilah-istilah sains. (Mungkinkah kerana sudah lebih enam bulan bercuti otakku sudah sedikit lembab menerima lambakan maklumat? Oh, tidak. Nampaknya perlu 'dipanaskan' semula.)Ya, jika meneliti glosarinya memang banyak ilmu yang boleh didapati, terutamanya ilmu Biologi.
Saya mengambil masa paling lama untuk menghabiskan buku Laskar Pelangi. Banyak idea mengenai ekonomi dan sosial tempatan (bagi latar cerita tersebutlah, iaitu di Belitong, Indonesia) yang jelas ditampilkan dalam bentuk satira dan sarcasm mirip-mirip The White Tiger karya Aravind Adiga. Terdapat juga bahagian-bahagian menyentuh perasaan yang bertemakan potensi yang tidak tercapai. Secara keseluruhannya, ada bahagian yang 'efektif', dan ada bahagian yang sedikit membosankan. Beberapa analogi yang menarik dengan pemilihan kata-kata yang berkesan. Pada amatan saya, banyak hiperbola dan personifikasi. (ceh. masih ingatkah saya akan intipati kelas KOMSAS Cikgu Paridah?) Dari segi latar, walaupun saya bukanlah berasal dari kampung, tetapi 'terasa'lah juga nostalgia suasana kampung yang ingin dibangkitkan.
Buku kedua ialah Sang Pemimpi. Buku ini yang paling nipis, dan setakat ini yang paling menghiburkan kerana pacing yang lebih pantas dan babak-babak humor.
Buku ketiga ialah Edensor. Buku ini menceritakan mengenai pengembaraan penulis sebagai anak dagang. Latarnya berbeza daripada kedua buku sebelumnya kerana latarnya di Eropah. Kagum sungguh dibuatnya dengan ketabahan dan 'kesetiaan' watak Si Ikal dan Arai.
Ketiga-tiga buku ini saling bersinambungan antara satu sama lain. Cerita ini berdasarkan kisah sebenar penulis. Memang disarankan sebagai bahan motivasi yang cukup efektif untuk membakar semangat untuk belajar. (sungguh bersesuaian sekali memandangkan saya sendiri juga bakal sambung belajar tidak lama lagi. Moga-moga semangat itu terus berkobar!) Kini setelah habis membaca ketiga-tiga buku tersebut. Teringin pula membaca buku keempatnya, Maryamah Karpov sebagai peneman malam-malam yang sunyi sebelum tidur. haha.
*My God, my BM sucks.*
Comments
nice one